SEJAK penyanyi bersuara emas ini mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006, ramai yang mengandaikan popularitinya akan jatuh merudum.
Malah, tidak kurang juga yang mengatakan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak berupaya lagi mengekalkan kehebatannya sebagai seorang bintang ternama negara.
Namun, hampir lima tahun memegang status sebagai seorang isteri, nampaknya masih lagi tiada sebarang tanda yang membuktikan gelaran penyanyi nombor satu negara yang dipegangnya itu akan berpindah milik.
Tidak keterlaluan dikatakan, popularitinya terus memuncak dan kekal berada di tangga teratas biarpun Siti sendiri mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti seninya kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.
Apa jua yang diperkatakan tentang dirinya memang tidak dapat dinafikan lagi, Siti tetap menjadi pujaan peminatnya yang masih lagi mempercayai bakat istimewa yang dimilikinya itu.
Buktinya, Siti akan kembali ke Indonesia untuk mengadakan konsert bergerak di lima buah bandar untuk mengubat kerinduan peminatnya di bumi jajahan Belanda itu.
Lima destinasi yang akan dikunjungi Siti kelak adalah Bandung, Jogjakarta, Banjarmasin, Padang dan Jakarta.
Sudah pasti, ia merupakan khabar gembira buat peminatnya di Indonesia yang sekian lama mendambakan persembahan daripadanya.
Jika tiada aral melintang, Siti akan berlepas ke Indonesia menjelang pertengahan bulan Jun ini bagi memulakan konsert jelajah itu.
“Tawaran untuk konsert ini sebenarnya datang daripada penganjur dari Indonesia yang mahukan saya membuat persembahan di sana. Apabila melihat kesungguhan mereka itu membuatkan saya terbuka hati untuk menerima tawaran tersebut.
“Kebetulan pula, jadual saya tidak begitu padat buat masa ini dan memang sudah lama saya tidak membuat persembahan sebegini di Indonesia.
“Bukan itu sahaja, sewaktu berkunjung ke Bandung beberapa bulan lalu, peminat di sana memberitahu kehadiran saya telah mengubat kerinduan mereka.
“Jadi, daripada situ, saya fikir inilah masa terbaik untuk saya kembali ke Indonesia dan menghiburkan peminat saya,” jelasnya yang kali terakhir mengadakan persembahan di Makasar pada tahun 2007.
Penyanyi berusia 32 tahun itu berkata demikian usai sidang akhbar Malam Gala SimplySiti yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Dekan Teknologi Kreatif dan Artistik selaku Pengurus Acara Malam Gala SimplySiti, Profesor Madya A. Razak Mohaideen.
Sepanjang 16 tahun menjadi seorang penghibur, populariti Siti bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara serumpun seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
Sehinggakan peminat Siti di Indonesia terutamanya, begitu taksub dan sayangkan Siti yang berjaya memukau mereka dengan suara emasnya.
Malah, sewaktu Siti berada di puncak kegemilangan sebelum berkahwin dulu, dia sudah berjaya mengadakan konsert jelajah di Indonesia dan mencatatkan kejayaan yang cukup sukses.
Untuk konsert jelajah itu kelak, Siti akan bertindak sebagai artis utama dan menampilkan artis undangan seperti Opick dan beberapa nama yang masih belum diputuskan.
Untuk konsertnya di Jakarta pula, berkemungkinan besar Siti akan bekerjasama dengan penerbit, komposer dan maestro muzik tersohor negara itu, Erwin Gutawa.
Bakal sibuk dengan persiapan konsertnya itu, apakah Siti akan melupakan niat untuk mengadakan konsertnya di negara ini seperti mana yang diimpikannya sejak tahun lalu?
“Sudah pasti saya masih lagi menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo. Insya Allah, kita tunggu selepas sambutan Aidilfitri kelak,” ujar pelantun lagu Bila Harus Memilih dan Kau Kekasihku ini penuh optimis.
Dalam perkembangan lain, Siti juga berdebar menantikan reaksi peminat dan masyarakat terhadap album Inggeris pertamanya yang dijangka akan berada di pasaran bulan depan.
Ujar pemegang rekod untuk Vokal Wanita Terbaik AIM sebanyak 11 kali ini lagi, album berentak pop moden dengan suntikan muzik R&B itu memuatkan 10 buah lagu itu sudah pun siap menjalani proses mixing dan kini hanya tinggal untuk mastering di Australia.
Kerjasama dengan UiTM
BAGI meraikan sambutan ulang tahun pertama SimplySiti, Siti akan mengadakan persembahan istimewa dalam majlis gilang-gemilang yang akan berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM pada 9 Julai ini.
Diberi nama Malam Gala SimplySiti, acara yang berkonsepkan warna hitam dan emas itu turut menampilkan tiga artis popular negara iaitu Amy Search, Aizat dan Ana Raffali.
Istimewanya tentang malam gala ini apabila ia menyaksikan kolaborasi SimplySiti dengan UiTM dan akan menggunakan kepakaran tenaga pengajar serta pelajar dari empat fakulti seni kreatif di UiTM.
Empat fakulti itu adalah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Seni Lukis dan Seni Reka, Muzik serta Teknologi Kreatif dan Artistik.
“SimplySiti sepakat memilih UiTM kerana percaya dengan kebolehan dan kredibiliti mereka yang telah melahirkan ramai bakat yang sudah terbukti kehebatan mereka dalam bidang masing-masing.
“Bukan itu sahaja, pengguna SimplySiti juga kebanyakannya adalah dari kalangan remaja dan pelajar. Jadi, saya fikir kolaborasi ini adalah tepat,” kata Siti yang akan menyarungkan busana rekaan pelajar jurusan fesyen pada acara yang akan dihoskan oleh penyampai radio Hot FM iaitu Faizal Ismail itu nanti.
Dalam masa yang sama juga, Malam Gala SimplySiti diadakan untuk mengumpul dana bagi Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM yang diwujudkan bagi membiayai pelajar berpotensi yang kurang untuk melanjutkan pelajaran ke UiTM.
Sebagai tanda sokongan, SimplySiti juga telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk tabung berkenaan pada sidang akhbar itu.
Bagi pihak dan pengguna tegar SimplySiti yang berminat untuk menghadiri malam gala ini, bolehlah menghubungi talian 03-5544 4860 atau melayari laman web, www.simplysiti.com.my
sumber :www.utusan.com
No comments:
Post a Comment